Pusingan ke-4 Karnival GP Joran 2008 sempena perisytiharan MPDDUNGUN: Pantai Teluk Lipat di sini, dipilih sebagai lokasi pusingan keempat Karnival GP Joran 2008 yang dijadualkan pada 23 dan 24 Ogos depan dengan menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan RM57,000 kepada pemenang.
Pertandingan ini dianjurkan Unit Joran Berita Harian dengan kerjasama Majlis Daerah Dungun (MDD) serta mendapat sokongan pelbagai agensi dan jabatan kerajaan peringkat daerah mahupun negeri.
Ini adalah kali pertama Pantai Teluk Lipat yang memanjang lebih 7 kilometer menjadi tuan rumah GP Joran yang selama ini tertumpu di Batu Buruk, Kuala Terengganu; serta Pantai Kijal dan Teluk Mak Nik di Kemaman.
Yang Dipertuanya, Zainal Abidin Hussin, berkata karnival memancing dua hari itu diadakan sempena perisytiharan MDD menjadi Majlis Perbandaran Dungun (MPD) dan yakin mampu menarik sejumlah pengunjung yang ramai ke bandar ini.
Beliau berkata, peserta Kategori Laut akan berlepas dari Jeti LKIM Kuala Dungun dan memancing di luar perairan Pulau Tenggol kira-kira 10 pagi Sabtu dan balik semula ke jeti sebelum jam 10 pagi Ahad.
Pertandingan Kategori Pantai berlangsung pada jarak mulai jarak 200 meter dari Jeti LKIM ke arah Kampus UITM.
Acara tepat jam 8 pagi hingga 1 tengah hari kemudian diikuti majlis penutup dan penyampaian hadiah jam 2 petang.
Juara bagi Kategori Laut akan mendapat RM15,000, kedua RM6,000 dan ketiga RM3,000. Pemenang ke-4 hingga ke-10 (RM600), ke-11 hingga ke-20 (RM300), pemenang ke-21 hingga ke-30 (RM200) manakala pemenang ke-31 hingga ke-40 mendapat hamper.
Habuan RM10,000 pula untuk juara Kategori Pantai, kedua RM5,000 dan ketiga RM2,000. Pemenang ke-4 hingga ke-10 (RM400), ke-11 hingga ke-20 (RM200), ke-21 hingga ke-30 (RM100) dan hamper bagi pemenang ke-31 hingga ke-40.
Perairan Teluk Lipat adalah antara lokasi memancing pantai yang terbaik di Semenanjung. Ia dihuni ikan gred A seperti gerung belang, kerapu, gelama papan, pari dan ebek.
Peserta Kategori Laut pula berpeluang memancing pelbagai ikan karang seperti kerapu, jenahak, merah, kaci dan landuk selain tenggiri, pari, alu-alu, aruan tasik serta jemuduk.
Sehubungan itu, Zainal Abidin mempelawa seluruh warga Terengganu dan Dungun khususnya selain pengunjung luar datang memeriahkan Karnival GP Joran 2008 serta menyertai pelbagai program sempena perisytiharan MPD.




Yg Main internet hari ini...