Suami zalim, anak dajal
Oleh AHMAD NAZRI MOHAMAD dan FUAD HADINATA YAACOB
metahad@hmetro.com.my
Hampir tidak siuman
KUALA LUMPUR: Seorang ibu tunggal hidup berteman derita apabila waktu mudanya dijual dan dibelasah suami, sesudah bercerai pula diseksa tiga anak lelaki ‘dajal’.
Lapan tahun hidup bersama suami yang juga penagih dadah sebelum bercerai, Anis, 36, tidak mengecap nikmat kebahagiaan sebenar, malah menjadi mangsa ‘sepak terajang’ lelaki kejam itu.
Penderitaan bagai tiada kesudahan itu diteruskan pula tiga daripada empat anak lelakinya yang layak digelar ‘Si Tanggang’ kerana terbabit dalam pelbagai kes jenayah seperti samun, menghamilkan teman wanita, mencuri, hisap dadah, hidu gam, peras ugut dan mencabul kehormatan.
Kehidupan yang dilalui bak kata pepatah, ‘keluar dari mulut harimau, masuk mulut buaya’ hampir menjadikan wanita itu tidak siuman sehingga terpaksa mengambil sejenis pil penenang untuk mengelak tekanan.
Menurut wanita berasal dari Petaling Jaya, Selangor itu, kesengsaraan berganda yang dihadapinya tidak tertanggung lagi, bagaikan sudah kering air mata menangisi nasib.
Katanya, saat manis perkahwinan dengan suaminya hanya dikecapi apabila mula-mula kahwin. Ketika itu dia baru berusia 15 tahun.
“Semuanya indah pada awal perkahwinan. Selepas beberapa tahun, dia berubah dan mula mengambil dadah. Sejak itu, saya melalui episod ngeri setiap hari. Semua kemahuannya kena dituruti, kalau tidak saya akan kenyang ‘makan’ penerajang.
“Saya dipaksa melakukan pelbagai kerja, termasuk membungkus dadah. Jika lambat, saya bukan saja diherdik dan dimaki, malah disepak dan dihantuk ke dinding. Berdarah perkara biasa bagi saya.
“Pernah saya adakan parti hari jadi untuk suami, tetapi alangkah hancurnya hati saya apabila majlis sambutan itu dibalas dengan penampar,” katanya.
Anis berkata, ketika berusia awal 20-an, suaminya juga pernah menjualnya kepada seorang wanita dikenali dengan nama Kak Nor yang menjadikannya buruh paksa sebagai pembantu kedai di sekitar Petaling Jaya dan Bangsar.
“Selama enam bulan bersama Kak Nor, saya sekadar hanya diberi makan minum percuma. Saya bekerja tanpa dibayar gaji walau sesen pun,” katanya dengan tenang ketika ditemui di rumahnya di Petaling Jaya, baru-baru ini.
Menurut Anis, lantaran tidak tahan melihat dia menderita, ibu mentuanya meminta dia bercerai dengan suaminya.
“Malangnya, beberapa kali saya dipermainkan suami yang berjanji jika saya sanggup menyediakan sejumlah wang, dia akan bebaskan saya.
“Pernah suami minta saya RM500 jika mahu bercerai, apabila saya sediakan wang, dia ambil duit sambil ketawa dan keluar dari rumah sambil mengatakan dia tidak mahu ceraikan saya,” katanya yang akhirnya bercerai apabila suaminya dimasukkan ke penjara ketika dia berusia 23 tahun.
Itu baru episod duka dengan suami, kisah dengan tiga anak ‘dajal’ lain pula.
Ketika berpisah dengan suami, dia baru berusia 23 tahun tetapi memiliki empat anak lelaki yang kini berusia 21, 18, 17, dan 16 tahun.
Katanya, selepas berpisah dengan suami, dia mendapat hak penjagaan ke atas keempat-empat anaknya tanpa menuntut sesen pun nafkah, tetapi bekas suami tetap mengambil anak ketiga mereka untuk dipelihara ibu bapanya.
“Namun, selepas memiliki dan membesarkan tiga anak itu, saya tidak sangka pelbagai masalah timbul.
“Kata orang, dalam setandan pisang ada sebiji yang tidak baik, tetapi pada saya hanya satu yang baik manakala bakinya buruk. Saya tak tahu hendak buat apa lagi, wang dan harta benda sudah banyak habis untuk mereka,” kata Anis.
Kesengsaraan dialami berterusan yang ditanggung ibu tunggal itu berpunca daripada sikap tiga ‘anak durjana’ selepas perkahwinan yang dibina bersama suami musnah.
Anak sulung menyebabkan teman wanitanya hamil luar nikah; anak kedua didakwa mencuri dan merogol, manakala anak bongsu menghidu gam, peras ugut dan meraba. Cuma anak ketiga yang dipelihara ibu bapa mentuanya tidak menimbulkan masalah seperti adik-beradik lain.
Akibat derita dan sengsara yang tidak berkesudahan itu, Anis terpaksa mengambil sejenis pil sejak beberapa bulan lalu untuk menenangkan perasaan, sekali gus mengelak keadaannya menjadi lebih teruk, termasuk gila.
Kisah hidup empat remaja lelaki
KUALA LUMPUR: Seorang ibu pasti tidak tergamak menggelar anaknya dajal atau durjana, namun masih adakah perkataan yang lebih sopan bagi menggambarkan tiga anak lelaki Anis yang tidak pernah memahami pengorbanan dan kasih sayang seorang ibu.
Ikuti kisah hidup empat remaja lelaki, termasuk tiga anak dajal seperti diceritakan Anis, 36, kepada Wartawan Metro Ahad.
- ANAK SULUNG – (21 tahun)
“Anak sulung tak bekerja, tetapi Oktober tahun lalu dia terlanjur sehingga teman wanitanya hamil. Selepas kandungan empat bulan, baru saya diberitahu dan selepas berbincang dengan ibu wanita itu, kami sepakat menggugurkan kandungan.
Bagaimanapun, doktor swasta yang ditemui memberitahu, ia berisiko tinggi kerana janin cukup sifat dan ketika itu wanita berkenaan mahu menjaga anak dalam kandungan.
Bagi mengelak perkara ini menjadi fitnah orang, kedua-dua keluarga mengahwinkan mereka. Daripada kursus kahwin, kos nikah imam, mas kahwin dan kenduri yang diadakan untuk keluarga sebelah perempuan, saya tanggung semuanya hampir RM1,200.
Selepas kahwin, mereka duduk di rumah saya yang hanya ada dua bilik. Malah, setiap hari saya beri RM10 sebagai wang belanja untuk membeli makanan.
Saya tak tahu kenapa mereka tak mahu bekerja. Diberi nasihat dan ditegur, mereka cepat melenting.
Saya tahu mereka ada di rumah keluarga menantu saya, tapi saya tak kisah.
Baru-baru ini anak saya hantar SMS (khidmat pesanan ringkas) memberitahu dia mahu saya sediakan wang RM500 awal bulan ini sebagai wang perbelanjaan bersalin isterinya.”
- ANAK KEDUA – (18 tahun)
“Jika anak sulung menghamilkan anak orang, anak kedua pula merogol anak dara orang. Saya bukan saja terkejut, malah tak dapat terima apa yang berlaku.
Kes ini berlaku bulan puasa tahun lalu. Masa itu saya dalam perjalanan balik ke Kuala Lumpur dari Kelantan selepas membeli buah tembikai untuk dijual di gerai buah sekitar bandar raya.
Saya terima SMS daripada wanita yang menyewa rumah saya menyatakan dia mahu membuat laporan polis kerana anak saya merogolnya.
Mulanya saya tak percaya, tetapi saya membalas dan memberitahu buatlah apa yang dirasakan betul. Sebenarnya, wanita itu menyewa bilik di rumah saya beberapa bulan sebelum kejadian.
Anak lelaki saya tak pernah berjumpa dengannya kerana dia tinggal di rumah nenek. Sebaik saja saya sampai di rumah, puluhan anggota polis menunggu dan beberapa hari selepas itu anak lelaki saya ditahan.
Dia kemudian dihadapkan ke mahkamah. Sedih melihat nasib dia, saya berusaha mendapatkan RM10,000 untuk membayar peguam supaya dia dibebaskan dengan ikat jamin.
Memang saya tiada duit sebanyak itu, malah untuk deposit yang diminta sebanyak RM500 juga saya berusaha mencarinya.
Saya jumpa kawan, malah tanpa segan silu sujud di kaki mereka dan minta meminjam duit. Dengan jasa baik rakan, saya dapat kumpul RM9,000 dan bayar kos peguam saja RM8,000.
Dia berjaya diikat jamin dan Jun depan akan naik mahkamah semula.
Selepas bebas, saya ingat dia berubah, namun sangkaan saya meleset. Dia buat perangai semula, terutama ambil dadah.”
- ANAK KETIGA – (17 tahun)
“Di antara keempat-empat anak saya, yang ketiga ini yang terbaik atau boleh dikatakan jadi manusia.
Sejak kecil, dia dijaga oleh mentua saya di Johor. Meskipun ayahnya penagih dadah, dia tidak mengikut jejak langkahnya.
Dia lebih rapat dengan keluarga mentua saya kerana tinggal bersama mereka sejak kecil. Bila cuti sekolah, baru dia datang ke sini.
Dia memang tak menyusahkan saya, malah bila saya hendak membeli pakaian berharga sedikit mahal, dia menolak.
Dia anak yang baik dan berbudi bahasa. Saya berharap dia menjadi manusia berguna pada masa depan.”
- ANAK KEEMPAT – (16 tahun)
“Sejak di tingkatan satu lagi dia mula menghidu gam. Pada mulanya saya tak percaya. Bila ditanya, dia tak mengaku. Siapa nak mengaku kesalahan? Di rumah, dia baik seperti pijak semut pun tak mati.
Namun, pada satu hari saya balik kerja awal. Bila buka pintu, saya nampak dia asyik menghidu gam. Terkejut bercampur marah ketika itu.
Bila ditanya kenapa dia menghidu gam, dia kata bila buat demikian baru nampak ‘rock’.
Malah, seperti dirasuk syaitan, dia menjerit dan melompat gembira sehingga katil patah.
Di sekolah, dia mahu macam-macam. Bila hendak beg, saya belikan, tetapi dia menjualnya selepas itu. Sehari saya beri RM5 sebagai wang belanja.
Namun lain pula dilakukan apabila meraba buah dada perempuan. Saya tak tahu nak kata apa.
Untuk mengelak berlaku kejadian lebih buruk, saya menghantarnya ke sebuah rumah kebajikan di Sabak Bernam, Selangor.”
Yg Main internet hari ini...