KUALA LUMPUR: Puluhan ‘gigitan cinta’ membaluti tubuh gebu si isteri membongkar hubungan gelapnya dengan seorang pengkid yang juga rakan sekerja sejak beberapa bulan lalu.
Pengkid ialah golongan gadis yang menganggap diri mereka lelaki dan hanya tertarik kepada perempuan.
Rahsia wanita beranak dua berusia lingkungan 20-an itu diketahui selepas suaminya menjumpai cakera padat video (VCD) yang merakamkan aksi ghairah isterinya dan pengkid terbabit di beberapa tempat di ibu kota, termasuk di rumahnya di sini.
Rakaman itu dipercayai dilakukan sendiri ‘teman lelaki’ isteri terbabit yang dikatakan menghadiahkannya bagi memperingati hubungan intim mereka.
Malah, aksi pasangan haram itu turut memaparkan beberapa gambar mereka meraikan ‘bulan madu’ pertama di sebuah lokasi rahsia, termasuk melakukan hubungan tidak sihat.
Tidak ketinggalan beberapa kata cinta seorang kekasih terhadap pasangannya seperti ‘dapat hidup bersama tersayang’ dan ‘berdoa supaya dapat berdua sehingga ke akhir hayat’ juga memenuhi rakaman dalam VCD berkenaan.
Disebabkan tidak tahan dengan perangai isterinya, lelaki berusia lingkungan 40-an terbabit membuat aduan kepada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) supaya mengambil tindakan sewajarnya.
Menurut sumber Jais, lelaki itu mulanya tidak mengesyaki kegiatan isterinya yang sering bekerja di luar kawasan bersama rakan sekerja terbabit.
Bagaimanapun, kegiatan terbabit terbongkar apabila suaminya ternampak puluhan ‘gigitan cinta’ pada tubuh isteri selepas pulang bertugas.
Dia juga tidak menyangka rakan sekerja itu tempat isterinya untuk melepaskan hawa nafsu.
“Walaupun isterinya menafikan melakukan perbuatan tidak bermoral dengan pengkid terbabit yang dikatakan hidup mewah, kesan pada tubuh membuatkan suaminya curiga.
“Kecurigaan itu terjawab apabila VCD yang memaparkan aksi intim dan ghairah pasangan itu dijumpai suaminya yang kemudian terkejut dengan kandungan rakaman terbabit,” katanya.
“Saya difahamkan VCD itu yang disembunyikan adalah hadiah istimewa daripada pasangan pengkidnya,” katanya.
Sumber itu berkata, ada babak dalam rakaman VCD itu dilakukan di rumah wanita itu sendiri selain di rumah pasangannya yang dipercayai menyewa di sekitar Lembah Klang.
Menurutnya, lelaki terbabit yang mendakwa isterinya seorang wanita yang baik percaya dalang sebenar adalah pengkid itu.
Pengkid itu juga didakwa mempengaruhi isterinya supaya menghadiahkan pelbagai barangan berharga, termasuk barang kemas dan kelengkapan kosmetik.
“Lelaki itu juga mendakwa tidak mempunyai krisis yang serius dalam rumah tangganya tetapi terkejut dengan perubahan ketara isterinya.
“Malah, dia mendakwa isterinya masih balik ke rumah walaupun mereka tidak serapat seperti sebelum berkahwin,” katanya.
Sumber itu juga percaya wanita berkenaan sering menceritakan masalah rumah tangganya kepada pengkid terbabit menyebabkan hubungan mereka semakin rapat hingga sanggup melakukan kegiatan tidak bermoral.
Menurutnya, lelaki terbabit membuat aduan kepada Jais bagi membolehkan kegiatan pasangan haram itu ditangani segera berikutan boleh merosakkan rumah tangga dan kehidupan anak pasangan berkenaan.
“Saya difahamkan, kami masih meneliti masalah yang dibangkitkan lelaki itu, termasuk mengambil kira masalah rumah tangga dan sikap pengkid itu,” katanya.



0 Responses to “Gigitan cinta digomol pengkid”