Curi Hati tak pe…
February 17, 2008 by kantoi
Remaja lelaki maut dibelasah
Oleh AZLAN HAFEEDZ
am@hmetro.com.my
Disyaki terbabit dalam kecurian di tempat kerja lamanya
KOTA BHARU: Seorang remaja lelaki maut selepas dibelasah hingga parah oleh beberapa lelaki selepas disyaki terbabit dalam kecurian di tempat kerja lamanya.
Kejadian berlaku kira-kira jam 12 tengah malam Khamis lalu, dan mangsa berusia 19 tahun meninggal dunia di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, malam kelmarin, akibat pendarahan dalaman di kepala.
Mangsa dari Kampung Landak, Pengkalan Chepa dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII), di sini, sebaik ditemui orang ramai di lokasi pergaduhan.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Zahruddin Abdullah, berkata dalam kejadian Khamis lalu, mangsa dibawa keluar dua lelaki dikenali ke Kampung Kota Lama.
Menurutnya, suspek dipercayai tidak berpuas hati dengan mangsa yang disyaki mencuri beberapa barangan ketika bekerja dengan mereka.
“Setiba di lokasi itu, kedua-dua suspek dipercayai menyoal siasat mangsa berhubung kecurian itu sebelum berlaku pertengkaran mulut antara mereka.
“Siasatan awal mendapati, suspek yang juga bekas majikan mangsa kemudian membelasah mangsa bersama seorang suspek lain,” katanya.
Katanya, selepas itu dua suspek, masing-masing berusia 21 dan 22 tahun, dikatakan beredar dari lokasi kejadian dan meninggalkan mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum ditemui orang ramai.
“Mangsa terus dibawa ke HPRZII sebelum dihantar ke HUSM berikutan cedera parah di kepala.
“Motif kejadian dipercayai berpunca akibat sikap tidak puas hati suspek berhubung kecurian dipercayai dilakukan mangsa,” katanya.
Kedua-dua suspek kini ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sehubungan itu, polis meminta orang ramai yang melihat kejadian itu menghubungi IPD Kota Bharu melalui 09-7485522 bagi membantu siasatan.





