NASIB ANAK TERBUANG
February 16, 2008 by kantoi
Nasib anak terbuang
Oleh Faizatul Farlin Farush Khan
ffarlin@hmetro.com.my
KUALA LUMPUR: Tatkala ibu bapa Sharlinie Mohd Nashar, 5, berendam air mata dan menggunakan pelbagai sumber untuk mencari anak mereka yang hilang sejak 37 hari lalu, tujuh kanak-kanak termasuk dua bayi, mengalami nasib sebaliknya apabila ditinggalkan begitu saja oleh waris.
Tanpa belas kasihan, tujuh kanak-kanak malang itu bukan saja tidak merasai belaian kasih sayang ibu bapa, malah ditinggalkan tanpa sebarang dokumen dan pengenalan diri sehingga menyukarkan proses merekodkan butir diri dengan tepat.
Lebih menyedihkan, ada ibu bapa tidak berhati perut sanggup meninggalkan bukan satu, malah dua anak mereka di bawah jagaan sementara orang lain tanpa kembali menuntut.
Melalui usaha Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), waris kepada tujuh kanak-kanak malang itu kini dijejaki dan diminta tampil bagi membantu urusan dokumentasi pengenalan diri.
Kanak-kanak berusia dua bulan dan 15 tahun itu ditinggalkan ibu bapa kandung mereka tanpa sebarang dokumen atau pengenalan diri, menyebabkan tiada maklumat diri tepat dapat direkodkan.
Dua daripada kanak-kanak malang itu ialah adik-beradik, Nur Intan Shafina, tujuh tahun dan adiknya, Nur Intan Shafiqah, tiga tahun, yang diserahkan penjaga mereka, Ahmad Khairuddin Mohd Ramli kepada JKM.
Mereka bersama lima kanak-kanak lain, termasuk dua dipercayai anak pasangan warga Indonesia, kini ditempatkan di Pejabat JKM Petaling di sini.
“Difahamkan adik-beradik berkenaan ditinggalkan ibu bapa kandung hanya dikenali sebagai Ina dan Bob. Sehingga kini mereka tidak menuntut dan meninggalkan kanak-kanak itu tanpa dokumen pengenalan diri,” kata Pegawai JKM Petaling, Maslinda Amiruddin.
Beliau berkata, JKM juga sedang mencari waris kepada tiga kanak-kanak lain iaitu Nasir, berusia 15 tahun yang mengalami Down Sindrom dan Yong Kian Tong, 4.
“Kami juga mencari waris kepada kanak-kanak, Muhamad Iskandar yang dijumpai orang awam di sebuah surau di Bandar Sunway sebelum dirujuk kepada pihak polis,” katanya.
Sementara itu, waris kepada dua bayi lelaki dikenali Sulaiman dan Mohamad Ridzuan, dipercayai anak kepada pasangan warga Indonesia bernama Rupiati dan Sri Wahyuni, turut diminta tampil bagi membantu menyelesaikan masalah dokumentasi diri.
Sehubungan itu, JKM meminta bantuan orang ramai yang mempunyai maklumat serta waris terdekat supaya menghubungi Unit Kanak-Kanak jabatan itu di talian 03-56343095 dengan segera.
Sharlinie, 5, yang yang hilang ketika dalam perjalanan pulang selepas bermain di taman permainan berdekatan rumahnya di Taman Medan, Petaling Jaya, sejak 9 Januari lalu masih belum ditemui sehingga kini.
Bapanya, Mohd Nashar Mat Husin, 29, dan ibu, Suraya Ahmad, 28, tidak pernah berputus asa malah sanggup meredah kedinginan malam menggunakan motosikal mencari anak bongsu kesayangan mereka tanpa jemu.
Sebelum ini, pencarian besar-besaran pernah dijalankan ibu bapa Nurin Jazlin Jazimin, 8, yang menjadi mangsa pembunuhan kejam pada September tahun lalu, termasuk menyebarkan poster anak mereka di serata tempat.





