Jerat SMS tipu
February 13, 2008 by kantoi
Jerat SMS tipu
Oleh Zalifah Mohd Yatim
zalifah@hmetro.com.my
MUAR: Sebuah sindiket penipuan berasaskan SMS dikesan cuba menjerat orang ramai terutama di bandar kecil dengan mendakwa kononnya kad sim telefon bimbit mangsa memenangi cabutan bertuah menawarkan hadiah lumayan anjuran syarikat gergasi petroleum atau telekomunikasi, bagi meyakinkan mangsa.
Sindiket terbabit yang menggunakan telefon bimbit berdaftar di Sabah didapati menghantar SMS pada awal pagi, bagi memerangkap mangsa yang mudah terpedaya dengan tawaran hadiah lumayan yang sebenarnya tidak wujud.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohammad Nasir Ramli, berkata terbaru, kes seorang pesara guru, 67, kerugian RM1,997.02 apabila wang simpanan dalam akaun banknya dipindah milik dalam kejadian di sini, pagi kelmarin.
Katanya, pesara itu menerima SMS daripada sindiket berkenaan jam 5 pagi.
Menurutnya, kandungan SMS yang diterima mangsa memaklumkan, kad sim telefon bimbitnya memenangi hadiah cek tunai RM15,000 dari sebuah syarikat gergasi petroleum sebelum diminta menghubungi nombor yang dinyatakan.





