Lelaki Maut ditikam Kekasih
February 10, 2008 by kantoi
Lelaki maut ditikam kekasih
KUALA LUMPUR 9 Feb. - Kemeriahan sambutan Tahun Baru Cina bagi sepasang kekasih berakhir dengan tragedi apabila seorang perempuan menikam pasangannya dengan gunting di leher ekoran perselisihan faham dalam kejadian di Taman Cheras Hartamas, Kajang semalam.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 3 pagi itu menyebabkan mangsa, Yap Yong Song, 35, peniaga dari Batu Arang, mati di tempat kejadian ekoran pendarahan yang serius.
Pasangan itu tinggal serumah, tetapi sebelum kejadian mangsa yang merupakan seorang duda telah keluar bersama rakan-rakan sementara suspek pergi ke rumah keluarganya.
Bagaimanapun sebaik pulang ke rumahnya, mangsa menelefon suspek yang juga seorang janda beranak satu supaya pulang dan meraikan sambutan Tahun Baru Cina bersama-sama.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Rosli Mohd. Nizam berkata, namun sebaik sampai di rumah berlaku perselisihan faham antara keduanya sehingga terjadi pergelutan.
”Suspek yang cuba pertahankan diri telah menikam mangsa di leher dengan menggunakan sebilah gunting,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata, suspek yang bekerja di sebuah kelab hiburan di Kajang kemudian menelefon seorang rakan untuk membantunya yang kemudian menghubungi polis.
Katanya, polis yang pergi ke tempat kejadian telah menahan suspek dan menemui gunting digunakan dalam kejadian itu.
Tambah beliau, suspek direman selama enam hari untuk siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.






UiKSS MaCaM2..