Apa KOMENT anda…
January 9, 2008 by kantoi
Soalan
SAYA gadis berusia 22 tahun dan kini hidup saya sudah jauh terpesong. Cinta membuatkan saya bukan diri saya yang dulu lagi. Segala-galanya bermula selepas saya menamatkan persekolahan tingkatan lima. Biarpun mendapat tawaran untuk menyambung pelajaran, saya memilih untuk bekerja demi membantu keluarga dan adik-adik.
Ketika itulah saya mula mengenali M. Dia lelaki pertama yang mengajar saya erti cinta. Sepanjang bersama M, saya tidak pernah susah walau dalam apa hal sekalipun. Namun, saya tidak tahu di mana silapnya sehingga saya akhirnya tewas dalam pelukan M. Kami terlanjur.
M kemudiannya meminta kami segera bertunang. M bekerja dengan kerajaan manakala saya bekerja swasta, jadi waktu bekerja saya tidak menentu. Makin hari saya lihat perubahan sikap M semakin ketara. Saya kemudian meminta M berterus terang dan jawapannya membuatkan jantung saya rasa nak tercabut.
Kata M, keluarganya sudah ada pilihan untuknya. Selepas kejadian itu, saya kerap menghantar SMS kepada M bertanyakan apa silap saya dan di mana segala janjinya dulu untuk setia bersama saya? Namun, M hanya membisu seribu bahasa.
Diringkaskan cerita, selepas setahun berduka saya berkenalan pula dengan H. Namun, selepas hampir setahun bersama, barulah saya tahun H sebenarnya tunang orang. Bersama H, kami juga pernah terlanjur. Namun, saya tiada pilihan melainkan mengundur diri kerana tidak sanggup diri terus dikecewakan.
Dang Setia, kini saya berkawan pula dengan suami orang dan sedang mencari rumah untuk tinggal bersama. Saya tidak pedulikan diri saya lagi biarpun saya kadangkala benci dengan apa yang saya lakukan.
Sekarang saya tidak minat untuk bercinta. Niat saya hanya untuk mempermainkan hati lelaki biarpun mereka mungkin ikhlas menganggap saya sebagai kekasih. Sekarang saya bingung dengan kehidupan dan diri saya.
Kenapa saya bercinta dan biarkan lelaki permainkan diri saya? Di mana silap saya Dang Setia?
Gadis keliru
Jawapan
Sekurang-kurangnya ada tiga kesilapan besar saudari yang boleh Dang Setia rumuskan iaitu memilih jalan penyelesaian salah terhadap masalah dialami, bertindak mengikut perasaan dan bukan akal fikiran serta mengabaikan syariat Islam sebagai pedoman kehidupan.
Ketiga-tiga kesilapan saudari itu memiliki perkaitan kuat di antara satu dan yang lain. Gabungan ketiga-tiganya yang masih menjadi amalan saudari pada hari ini, menyebabkan hidup saudari jauh daripada ketenangan, kebingungan dan penuh kekeliruan.
Justeru, jika saudari benar-benar ingin kebahagiaan dan ketenangan dalam kehidupan, bukan saja di dunia, malah hingga ke akhirat, saudari perlu mengubah cara berfikir dan bertindak serta tidak mengulangi ketiga-tiga kesilapan yang dilakukan sebelum ini.
Soal hati memainkan peranan yang amat penting di sini. Untuk berubah ke arah kebaikan, saudari perlu memiliki hati yang bersih dan ikhlas. Pada masa ini, Dang Setia melihat ada masalah dengan hati saudari.
Rasa marah dan kecewa terhadap kegagalan dalam perhubungan dengan M serta H, menyebabkan hati saudari menjadi kotor.
Saudari ada niat buruk iaitu ingin membalas dendam dengan menjadikan lelaki lain sebagai mangsa cinta palsu saudari.
Ingatlah, apabila ada dendam dan niat jahat di dalam hati, kita tidak akan berfikir dengan betul kerana fikiran kita bukan menerima bimbingan atau petunjuk Allah, sebaliknya diracuni atau dihasut oleh syaitan yang sentiasa ingin menyesatkan manusia.
Akibat godaan syaitan itulah saudari kini menjalin pula hubungan dengan suami orang dan lebih buruk lagi, saudari bersedia untuk tinggal bersama atau bersekedudukan dengannya. Jadi, sekali lagi saudari melakukan kesilapan dan masalah saudari akan menjadi lebih buruk.
Pada ketika itu, syaitan akan bertepuk tangan kegembiraan kerana usahanya untuk menyesatkan saudari berjaya. Pada pandangan zahir, mungkin saudari kelihatan bahagia namun jauh di dalam hati, saudari sukar menafikan bahawa saudari sebenarnya menderita.
Kehidupan yang sentiasa bergelumang dengan dosa akan menyebabkan saudari jauh daripada rahmat Allah. Jadi, hati saudari tidak akan tenang dan nikmat kebahagiaan hakiki yang saudari inginkan mustahil untuk dikecapi.
Syaitan memesongkan hati dan pemikiran saudari dengan membuatkan saudari beranggapan suami orang yang menjadi kekasih saudari kini adalah mangsa cinta palsu saudari. Benarkah begitu? Benarkah dia yang menjadi mangsa atau saudari sendiri yang menjadi mangsa?
Tanpa perlu berkahwin dengan saudari, dia mendapat tubuh saudari secara percuma. Kini dia ada dua perempuan untuk melepaskan nafsu serakahnya iaitu isterinya dan juga saudari.
Selepas puas, mungkin dia akan meninggalkan saudari begitu saja dan kembali semula bersama isterinya.
Dia sedikitpun tiada masalah untuk meneruskan kehidupan, sebaliknya saudari akan sekali lagi berdepan dengan masalah dan penyesalan. Saudari akan berasa diri bertambah kotor, hina dan semakin ragu, akan adakah lelaki yang sudi menyunting saudari untuk dijadikan isteri.
Justeru, siapa sebenarnya untung dan siapa sebenarnya rugi di sini? Adakah masalah saudari akan selesai? Adakah hati saudari akan tenang? Adakah hidup saudari akan bahagia? Jawapannya pasti tidak, tidak dan tidak.
Oleh itu, bersihkanlah hati dan fikiran saudari. Takutlah kepada Allah dan kasihanilah ibu bapa serta keluarga saudari yang pastinya akan malu serta kecewa dengan kehidupan saudari yang penuh dengan noda.
Jangan buruk sangka terhadap Allah. Ingatlah Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani. Allah sangat suka kepada hamba-Nya yang bertaubat.
Apabila kita melakukan kesalahan, bertaubatlah dan tanamkan tekad untuk mengulanginya.
Syaitan memang akan sentiasa mengganggu, jadi kita perlu ada iman yang kukuh untuk dijadikan perisai bagi menangkis hasutannya.
Untuk memupuk iman pula, kita perlu beramal dan untuk beramal, kita perlu berilmu.
Jadi, carilah ilmu dan lakukanlah amalan yang disuruh Allah. Hanya dengan cara itu, kita akan dekat kepada Allah untuk memudahkan kita menerima petunjuk dan hidayah-Nya untuk membolehkan kita mengecap ketenangan hati serta kebahagian dalam hidup, baik di dunia mahupun di akhirat.
Sedarilah, semua ini bukan terlalu sukar, sebaliknya ia satu tangunggjawab dan kewajipan kita yang hidup sementara di dunia ini.
Kita juga sebenarnya tiada pilihan. Jika kita tidak menjalankan segala kewajipan itu, kita sendiri yang rugi. Sesungguhnya janji Allah itu benar dan azab Allah itu amat pedih.





