Bilakah kita bisa nafikan telahan malaikat?.
December 31, 2007 by kantoi
Tahun 2007 melabuh tabir zamannya dengan ledakan kemarahan ras Hindu yang kononnya terkucil di tanah air ini dan pembunuhan brutal seorang serikandi Butto di bumi Maududi.Kita menjadi terpinga-pinga dan hampir tidak percaya, justeru pada penghujung tahun 2007 ini keseluruhan dari kita terpaksa menjadi saksi kepada episod kejahatan bersiri yang tega dilakukan makluk yang bernama manusia.
Menjadi benar telahan malaikat, bahawa makluk baru ciptaan tuhan ini benar-benar berleluasa melakukan kerosakan di atas muka bumi ini. Makluk yang bernama manusia ini diturunkan ke bumi dengan satu misi yang sangat mulia dan akan diterbangkan kembali ke langit untuk dinilai segala misinya sebelum diabadikan samada di syurga atau neraka.
Tapi percayalah sejarah manusia terlalu banyak diwarnakan dengan warna-warna kemarahan, warna kejahatan, warna kebencian, warna kesombongan dan seribu warna kekufuran. Perang di mana-mana, sama ada kerana perebutan tanah jajahan atau pembersihan etnik atau desakan ekonomi, hatta kerana perjuangan demi tuhan.
Apa yang lebih dikesalkan, kemajuan dan kemodenan sedikit pun tidak membantu kehidupan manusia ke arah yang lebih nyaman, aman, tenteram dan menyayangi sesama manusia yang pelbagai etnik dan ugama. Allamah Iqbal pernah mengungkapkan ” sungguh hebat dan mengkagumkan ,kamu bisa terbang di udara bagaikan burung, kamu bisa berenang di air bagaikan ikan, tapi sayang kamu tidak bisa berjalan di atas muka bumi ini sebagai manusia “.
Apalah ertinya kemajuan dan kemodenan teknologi dan kemanusiaan itu sendiri, seandainya manusia di bumi ini semakin berubah menjadi binatang buas di rimba raya.
Apakah benar tuhan menjadikan manusia untuk merusak bumi ini?. Kalau tidak benar, kenapa manusia tega mencabut nyawa manusia lain sebebas-bebasnya. Kalau tidak benar kenapa manusia sanggup berperang dan berperang di mana-mana dan kapan saja.
Bila kah manusia bisa menafikan telahan malaikat di hadapan tuhan duluan lagi ?.”
oleh : abuhikam





